Negara minggu lalu digemparkan dengan berita perkahwinan sejenis Mohammed Fazdil Min Bahari, 36, atau Fatine dengan seorang lelaki warga British, Ian Young di negara tersebut.
Meskipun agak aneh, namun isu kecelaruan jantina sehingga menyebabkan seseorang sanggup melakukan sesuatu di luar dugaan dan batasan agama telah lama diperkatakan banyak pihak.
Beberapa tahun lalu, sebuah universiti tempatan mendedahkan hasil kajian mereka mendapati fenomena mahu menjadi perempuan semakin serius di kalangan pelajar lelaki khususnya yang tinggal di asrama sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Kajian oleh Institut Kajian Liberal, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di beberapa buah sekolah berasrama dan IPT di sekitar Lembah Klang itu mendapati bilangan kumpulan berkenaan semakin bertambah seiring dengan perkembangan manusia di negara ini.
Lebih mengejutkan apabila antara analisis data hasil kajian itu ialah terdapat lima hingga 10 peratus golongan homoseksual dikatakan wujud di sekolah-sekolah dan IPT dan rata-ratanya adalah di kalangan mereka yang beragama Islam.
Itu pendedahan kira-kira empat tahun lalu. Persoalannya, adakah masalah kecelaruan seks di Malaysia pada ketika ini sudah tiba ke tahap yang serius hingga memerlukan sebuah institusi khusus digerakkan di negara ini bagi menanganinya?
Jika difikirkan, kajian institut itu sekadar merangkumi ruang IPT serta sekolah dan tidak mustahil jika kajian sama dilakukan secara menyeluruh, mungkin ada penemuan lain yang lebih mengejutkan.
Pensyarah Sosiologi Industri dan Pembangunan Tenaga Manusia, UM, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, trend lelaki mahu menjadi perempuan atau pondan merupakan satu perkara yang tidak boleh lagi diterima di negara ini.
Menurut beliau, biarpun ada segelintir masyarakat yang mungkin cuba berlembut atau bertoleransi dengan gejala itu, namun hakikatnya bilangan mereka yang menolak fenomena tersebut jauh lebih ramai.
"Fenomena lelaki mahu menjadi perempuan sebenarnya banyak mendatangkan masalah kepada institusi masyarakat terutama dalam aspek sosial. Trend itu tidak sesuai untuk Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam apatah lagi majoriti rakyat tidak menerimanya," tegas beliau.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, lelaki yang mempunyai naluri untuk menjadi wanita sebenarnya mengalami krisis identiti dan hal berkenaan boleh dirawat secara psikologi dan bimbingan agama.
Justeru katanya, adalah wajar sebuah institusi sosial ditubuhkan pihak berwajib khusus bagi menangani fenomena lelaki mahu menjadi perempuan sebelum trend berkenaan berkembang lebih hebat dan menjadi lebih parah.
Dari segi undang-undang pula katanya, perundangan sedia iaitu syariah sudah mencukupi kerana perbuatan terssebut secara terang-terangan menyalahi hukum Islam dan ketetapan Allah.
Itu kisah lelaki yang mahu menjadi perempuan, namun jangan dilupa satu lagi isu iaitu 'pengkid' - perempuan mahu menjadi lelaki juga satu fenomena songsang yang tidak kurang hebatnya.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 23 Oktober tahun lalu dengan tegas mengharamkan 'pengkid' selepas melihat gejala itu semakin membimbangkan.
No comments:
Post a Comment